Akhirat

Filem Akhirat telah dikritik dengan dahsyat oleh Faisal Tehrani di sini


*

Disini juga aku lampirkan jawapan dari produser filem tersebut mengenai kritikan yang telah dilemparkan :

Produser 'Akhirat' Baldev percaya kepada Allah!
07-04-2008 05:05:01 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

EKORAN dakwaan filem Akhirat yang menemui penonton bermula 20 Mac lalu menghina agama Islam dan tidak sesuai untuk dipertontonkan kepada masyarakat Malaysia, produser filem tersebut, S. Baldev Singh tampil memberikan cabaran kepada pengkritik yang mengemukakan kritikan 'pedas' dan 'berbisa' agar melakukan 'sesuatu' terhadap filem tersebut.

Katanya, atas kritikan tersebut juga, filem yang kini mengumpul kutipan sebanyak RM2 juta ini kurang mendapat sambutan di pawagam sekitar Kuala Lumpur.

Tidak tahu di mana salahnya, beliau menganggap salah satu penyebabnya adalah kerana kritikan negatif tersebut maka khalayak tidak mahu menanggung risiko untuk menonton filem yang dilakonkan oleh pelakon hebat dan terkenal Vanidah Imran, Tony Eusoff, Nabila Huda, Adi Putra, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin dan ramai lagi.

Walaubagaimanapun, beliau berpuas hati dengan kutipan di tempat lain seperti Ipoh, Perak, Melaka dan Johor yang selalu 'full house'.

Bukan di tiga negeri itu sahaja, penonton di negara luar seperti Brunei juga menerima dan memuji filem tersebut.

Kini, orang ramai masih berpeluang menonton filem Akhirat yang ditayangkan di enam buah panggung termasuk tiga buah panggung di Kuala Lumpur dengan dua hingga tiga 'show' sehari.

"Kalau di kampung, mungkin tidak ramai yang berpeluang untuk membaca kritikan yang tersebar di internet itu.

"Saya tidak menyalahkan mereka dan memaksa mereka untuk menonton filem saya tetapi saya minta semua orang pergi menonton dahulu filem tersebut sebelum membuat penilaian negatif terhadap filem ini.

"Saya buat filem ini dengan hati dan niat yang bersih serta penuh penghormatan. Saya juga tiada niat untuk memburukkan manusia, binatang atau apa-apa sahaja. Tetapi saya nak beritahu masyarakat tentang bahayanya HIV Aids kepada manusia apabila mereka terkena dan awasilah dengan hal itu.

"Takkan saya bodoh untuk melaburkan sejumlah wang RM2 juta untuk melakukan filem yang tidak berfaedah? Jika filem ini tidak patut ditayang, mengapa Lembaga Penapisan Filem Malaysia meluluskan filem ini sepenuhnya?.

"Saya fikir mungkin pengkritik ini berumur 13 tahun dan ke bawah. Jika dia benar-benar ingin menghalang filem ini dari ditayang, dia kena datang ke depan dan utarakan penilaian tersebut," ujar Baldev.

Dalam kritikan tersebut, pengkritik ini telah mengatakan filem Akhirat adalah filem Abu Jahal.

Antara petikan kata-kata yang ditulis adalah begini, "Itulah spekulasi yang melanda filem Abu Jahal (Suku Pertama) tahun 2008 iaitu 'Akhirat'.

"Sekiranya filem Akhirat itu adalah seorang manusia, maka manusia itu saya putuskan adalah Abu Jahal. Anugerah Abu Jahal yang jahil ini sesuai dijadikan satu anugerah ala-ala Oscar kepada filem ini, ataupun filem-filem lain yang 'mempersendakan' agama kelak."

Baldev cukup terkilan apabila mendengar penjelasan daripada pengarah filem tersebut, Syed Mohamed Benyahya yang membaca kritikan daripada pengkritik yang juga seorang blogger itu.

"Dia juga tak faham dengan pengkritik tersebut dan berkata samada pengkritik itu telah menonton filem ini atau belum.

"Jika pengkritik tersebut tidak berpuas hati dengan filem ini, dia perlu bercakap kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia untuk 'band' filem ini dan jangan kata filem ini Abu Jahal," luah Baldev .

Beliau turut mengesyorkan supaya para pengkritik menganggotai sebuah perbadanan pengkritik yang bertanggungjawab dan melantik satu jawatankuasa untuk menilai samada sesuai atau tidak untuk mengkritik sesuatu perkara itu.

"Tetapi saya akur bahawa setiap manusia itu mempunyai pandangan yang berlainan," kata Baldev lagi.

Tambah Baldev, menurut kajian yang beliau tahu tentang penerimaan khalayak filem di Malaysia, penonton tidak boleh menerima filem 'berat' seperti filem Akhirat.

"Mereka lebih gemar menonton filem ringan seperti filem komedi yang tidak memerlukan mereka berfikir.

"Oleh sebab itu, pada bulan depan kami bercadang untuk membuat sebuah filem aksi komedi iaitu "Kecoh" yang langsung tidak mengandungi mesej dan boleh dikatakan sebagai filem 'bodoh'.

"Seperkara lagi, orang kita suka sanjung barang orang," ulas Baldev.

Perkara menarik yang dibahaskan oleh pengkritik itu lagi adalah, "Merenung aspek dramaturgi, saya tidak tahu mana agamanya Akhirat, kerana filem ini membawa kesongsangan beragama, paling tidak lima perkara besar..."

Lima perkara besar yang disentuh dan diringkaskan di sini adalah "menjadikan adegan zina sebagai sesuatu yang cool dan kasual", "keinsafan Noni tidak didokong langsung adegan atau plot (sebab dan akibat) yang bertunjang agama", "ketabahan dan kesabaran Amran dan Mira tidak sedikit pun berbumbung agama", "babak-babak yang dilakonkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai ayah Mira dan Noni menunjukkan dialog bebal menyalahkan Allah terhadap kesengsaraan yang mereka hadapi" dan "adegan 'separa seks' dan 'separa panas' dalam filem ini amat menjengkelkan dan memualkan".

Tentang isu agama, Baldev mengatakan beliau tidak mempunyai niat untuk mempersendakan agama Islam kerana beliau sendiri menghormati agama Islam walaupun menganut agama kaum punjabi.

"Saya percaya kepada Allah dan tahu tentang apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh.

"Pasal seks pula, takkan seseorang yang sudah berkahwin seperti watak Mira (Vanidah) dan Amran (Tony) hendak duduk jauh-jauh seperti tinggal dengan orang asing.

"Perlu ingat lakonan yang dibuat bukan menggambarkan Vanidah, Tony, Nabila dan Adi tetapi apa yang perlu dilihat adalah watak tersebut iaitu Mira, Amran, Noni dan Ari," beritahu Baldev.

Pengkritik itu juga mengatakan, "Lebih menyedihkan filem 'Abu Jahal' ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Penerangan dan sokongan penuh daripada Majlis AIDS Malaysia. Tetapi dokongan dan kerjasama ini tidak membantu penggunaan fakta yang tepat berkenaan virus HIV dan AIDS.

"Dalam tempoh yang sangat singkat Mira tidak sepatutnya mendapat penyakit AIDS lagi. Vitus HIV menjadi AIDS setelah satu tempoh yang agak panjang, kadang-kala sepanjang 12 tahun. Bahkan tanda-tanda AIDS seperti Sarcoma Kaposi (KS) tidak pun kelihatan pada Mira...".

Menjawab kepada kritikan itu, Baldev berkata, "Penonton boleh melihat perubahan tersebut melalui rambut, warna baju dan kereta yang dipakai oleh Mira bagi menggambarkan masa yang diambil oleh beliau untuk mengidap HIV adalah lama.

"Fakta itu kita sudah tahu dari Majlis AIDS di mana pesakit HIV tidak meninggal kerana HIV positif atau AIDS tetapi mereka mati kerana Pneumonia.

"Beberapa bulan Vanidah pergi ke Majlis AIDS dan alaminya dengan bertanyakan kepada pesakit AIDS dalam tempoh enam bulan."

Walaupun dihentam hebat, produser dari Sri Saheb Productions ini masih mempunyai cita-cita untuk membuat filem berlandaskan kisah benar yang melanda masyarakat tempatan selepas menerbitkan filem Akhirat berdasarkan kisah benar seorang wanita yang meninggal dunia setelah menderita penyakit HIV positif.

"Saya bercadang untuk membuat sebuah filem mengenai isu buang bayi iaitu "Lapan Jam" seperti kisah bayi yang dibuang dalam tempoh lapan jam seorang yang disebut dalam akhbar tempatan baru-baru ini.

"Saya juga ingin menghasilkan sebuah filem berjudul "Kanser" yang menyentuh tentang masalah golongan perempuan yang ramai menghidap kanser. Saya ingin filem tersebut menceritakan tentang bahaya dan sebab penyakit itu menyerang seseorang itu.

"Kali ini saya ingin mencadangkan kepada pengkritik itu membuat skrip bagi kedua-dua buah filem ini dan saya bersedia untuk membeli skrip tersebut mengikut permintaannya.

"Saya juga akan mengusulkan cadangan ini dengan pengkritik itu nanti dan tidak perlu tahu bagaimana saya akan buat," rayu Baldev kepada pengkritik bernama Faisal Tehrani itu.

Untuk makluman, Faisal Tehrani bukan sahaja merupakan pengkritik bebas di laman blognya malah beliau juga merupakan seorang penulis buku ilmiah dan novel terkenal.


Diambil dari sini

2 comments :

  Firewabbit

April 24, 2008 at 9:08 PM

akhirat's director was my lecturer for last semester. he rarely came to class. later we knew that he was busy with his "akhirat".

so we had to postpone the subject of videography2 to this semester because of him.

dem again. dem dem dem. its a major btw.

  manusia ganjil ikan yu

April 24, 2008 at 9:27 PM

sad to hear that.