ARKIB : 31/05/2008

Najib nafi petrol naik Ahad ini

PUTRAJAYA 30 Mei - Kerajaan menolak khabar angin yang tersebar luas kononnya harga petrol akan dinaikkan sebanyak 40 sen bermula Ahad ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia merupakan khabar angin dan tidak boleh dipercayai.

''Perbincangan semua perkara berhubung penstrukturan semula subsidi berikutan krisis harga minyak akan dibincang pada mesyuarat Kabinet Rabu depan.

''Cakap-cakap banyak dan kita tak boleh pakai berdasarkan apa yang kita dengar di hujung telinga. Hari ini tidak ada bincang soal minyak (dalam mesyuarat Kabinet) sebab kita menangguhkannya,'' kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Najib berkata, perbincangan mengenai isu subsidi minyak hari ini terpaksa ditangguhkan kerana menteri yang sepatutnya membentangkan kertas cadangan mengenainya tidak hadir.

''Ada juga (menteri) yang minta tangguh sebab hendak kemukakan kertas cadangan mengenai subsidi minyak masak... itu yang kita terpaksa menangguhkannya," katanya.

SubsidiMengulas lanjut mengenai penstrukturan semula subsidi minyak, beliau berkata, kerajaan berharap dapat mengkaji semula sistem itu supaya lebih efisien untuk menghapuskan ketirisan dan juga penyalahgunaan.

"Kita juga mahu menegakkan prinsip kesaksamaan dan keadilan dalam pembahagian subsidi supaya mereka yang benar-benar layak mendapat subsidi sementara yang ada kemampuan haruslah membayar lebih menghampiri harga pasaran," katanya.

Najib menambah, jika Jemaah Menteri memutuskan beberapa keputusan segera berhubung isu minyak perlu dilaksanakan, maka pengumuman mengenainya akan dibuat.

Kelmarin, Jawatankuasa Menangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Najib bercadang mewajibkan kenderaan asing yang ingin mengisi petrol dan diesel di negara ini membayar pada harga pasaran.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan larangan menjual petrol dan diesel kepada kenderaan asing membabitkan semua stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer di sempadan Malaysia-Thailand membabitkan Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta membabitkan beberapa daerah di Johor termasuk di Kulai dan Johor Bahru.

Pada masa ini harga pasaran petrol ialah RM4 seliter manakala harga subsidi yang dijual di negara ini ialah RM1.92 seliter.



Nota : Betul apa yang dinyatakan oleh TPM kita ni. Mana ada kenaikan sampai 40 Sen? Khabar angin je tu semua.



1 comments :

  Anonymous

June 15, 2008 at 8:04 PM

Esok lusa naik le tu...